CARIAN SOALAN LAZIM

Masukkan kata kunci untuk carian soalan lazim :


  • Apakah itu cukai tanah?

    Cukai tanah mengikut Seksyen % Kanun Tanah Negara 1965 ditakrifkan sebagai:

    1. Apa-apa jumlah wang tahunan yang kena dibayar kepada Pihak Berkuasa negeri (PBN) sebagai cukai sewa.
    2. Apa-apa pembayaran tahunan lain terhutang kepada Pihak Berkuasa Negeri yang menurut mana-mana undang-undang bertulis, hendaklah dipungut seolah-olah ia adalah cukai sewa atau hasil tanah.
    3. Apa-apa bayaran terhutang kepada Pihak Berkuasa Negeri sebagai tunggakan cukai sewa.
    4. Top
  • Apakah tindakan yang akan diambil sekiranya saya tidak menjelaskan cukai tanah?

    Kegagalan membayar cukai tanah setiap tahun akan menyebabkan Notis 6A (Notis Peringatan yang dikeluarkan oleh Pentadbir Tanah kepada pemilik tanah individu atau syarikat yang gagal menjelaskan tunggakan cukai tanah beserta denda lewat seperti yang dituntun) dikeluarkan kepada:

    1. mana-mana individu yang mempunyai tunggakan cukai selama 5 tahun atau jumlah tunggakan melebihi RM 500.
    2. mana-mana syarikat yang mempunyai tunggakan cukai selama 3 tahun atau jumlah tunggakan melebihi RM 1,000.

    Sekiranya mana-mana individu atau syarikat yang masih gagal membayar jumlah tunggakan cukai beserta denda yang dituntut di dalam Notis 6A itu, perintah melucuthak di bawah Seksyen 100 Kanun Tanah Negara akan diteruskan yang mana pemilik tanah akan kehilangan tanah mereka.

    Top
  • Saya tinggal di Sarawak, tetapi saya mempunyai tanah di daerah Jasin, di manakah saya boleh membayar cukai tanah selain melalui kaunter Pejabat Daerah dan Tanah daerah Jasin?

    Cukai tanah boleh dibayar di mana-mana kaunter Pejabat Daerah dan Tanah di seluruh Melaka, selain itu, cukai tanah juga boleh dibayar melalui kaunter kutipan luar iaitu di Melaka Sentral, daerah Melaka Tengah, di Merlimau, daerah Jasin dan di Masjid Tanah, daerah Alor Gajah.

    Selain itu juga, pihak kami juga telah melantik agen pemungut kutipan cukai tanah iaitu semua kaunter Bank Simpanan Nasional yang terpilih seluruh Malaysia, semua kaunter Pejabat Pos seluruh Malaysia dan semua kaunter Majlis Bandaran seluruh Melaka.

    Mulai tahun lepas juga, pembayar cukai tanah boleh membayar cukai tanah secara online melalui laman web ini, iaitu hanya klik kepada bayar online melalui FPX dan mendaftar sebagai pengguna perbankan internet. Panduan dan maklumat lanjut pembayaran melalui online boleh didapati di ruangan yang berkaitan di laman web ini.

    Top
  • Dengan siapa saya boleh berhubung apabila saya mempunyai sebarang kemusykilan mengenai bil cukai saya?

    Anda boleh menghubungi mana-mana Pejabat Daerah dan Tanah di seluruh Melaka seperti senarai di bawah:

    Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah
    Aras Bawah & Aras Satu, Bangunan Wisma Negeri
    75450 Ayer Keroh
    Melaka
    Tel no: 06-232 7035 atau 06-232 7094
    (Unit Hasil)

    Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah
    78000 Alor Gajah, Melaka
    Tel no: 06-559 1211 (Unit Hasil)

    Pejabat Daerah dan Tanah Jasin
    77000 Jasin, Melaka
    Tel no: 06-529 8124 (Unit Hasil)

    Pejabat Pengarah Tanah dan Galian
    Aras 1-2, Bangunan Wisma Negeri
    Jalan Wisma Negeri
    75450 Ayer Keroh
    Melaka
    Tel no: 06-232 5905 atau 06-232 5906
    (Unit Hasil)

    Top
  • Setakat tahun 2009 ini, saya mempunyai tunggakan cukai agak tinggi, bolehkah saya memohon untuk membuat pembayaran cukai tanah secara ansuran?

    Pembayaran cukai tanah secara ansuran boleh dipertimbangkan oleh Pengarah Tanah dan Galian melalui satu kertas pertimbangan yang dibuat kepada beliau. Oleh itu, para pemohon boleh dipertimbangkan untuk boleh memohon pembayaran ansuran sekiranya mempunyai tunggakan melebihi RM 1,000. Permohonan boleh dibuat kepada Pejabat Daerah dan Tanah di daerah di mana tanah pemilikan pemohon.

    Permohonan pembayaran secara ansuran ini adalah salah satu inisiatif / langkah-langkah Pejabat Tanah sebagai kemudahan pemilik tanah di Melaka bagi yang memiliki tunggakan cukai yang tinggi. Walau bagaimanapun, sebagai pemilik tanah, tanggungjawab membayar cukai tanah adalah membayar cukai tanah setiap awal tahun sehingga 31 Mei setiap tahun.

    Top
  • Bagaimanakah caranya saya boleh membuat bayaran cukai tanah secara online?

    Sila layari : http://ptgmlk.melaka.gov.my/cukaionline atau Laman Web Rasmi PTG:http://ptg.melaka.gov.my klik pada bayar cukai online
    Perkara utama perlu diberi perhatian sebelum membuat transaksi pembayaran

    1. Pengguna mestilah telah mendaftar sebagai pembayar Perbankan Internet daripada bank-bank yang menyertai FPX iaitu :
      • Bank Islam Malaysia Berhad
      • RHB Bank
      • CIMB Bank
      • Maybank2U
      • Public Bank Berhad
      • Hong Leong Bank Berhad
    2. Pengguna mestilah mengetahui no akaun cukai tanah yang ingin dibayar seperti tertera pada bil yang telah dipos ke alamat pengguna, bil tahun lepas atau merujuk kepada pejabat daerah.
    3. Waktu operasi perkhidmatan pembayaran melalui FPX adalah dari jam 7 pagi hingga 11 malam setiap hari termasuk hari cuti dan kelepasan am.
    4. Sila cetak atau simpan (save) resit transaksi bayaran dan resit cukai tanah sebagai bukti pembayaran. Penyata pembayaran online (resit cukai tanah) hanya boleh diperolehi di Kaunter Unit Hasil, Pejabat Tanah dan Daerah 7 hari selepas pembayaran dibuat.
    5. Terimaan bayaran di dalam jumlah penuh sahaja dan sebarang ansuran tidak dibenarkan. Jika pembayar hendak membuat bayaran ansuran sila rujuk ke Pejabat Daerah dan Tanah yang berkenaan.
    6. Had maksimum bagi setiap transaksi adalah RM 2,000.00
    7. Semua transaksi pembayaran cukai tanah negeri Melaka melalui FPX akan dikenakan caj RM 0.50 kepada akaun pembayar.

    Sebarang pertanyaan oleh menghubungi :
    Unit Hasil PTG : 06-2325906, 06- 2325905, 06-2325358
    Unit IT PTG : 06-2325915, 06- 232 5914, 06-2326251

    Atau hantarkan email ke alamat berikut : ptg@melaka.gov.my

    Top
  • Mengapa cukai tanah dikenakan ke atas tanah oleh Pejabat Tanah sedangkan ia telah dikenakan cukai taksiran oleh Majlis Perbandaran?

    Pengenaan cukai tanah adalah selaras dengan peruntukan Undang-undang Malaysia iaitu Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 56/1965) yang menyebut bahawa cukai sewa adalah yang kena dibayar mengenai mana-mana tanah berimilik hendaklah merupakan satu hutang yang terhutang kepada Pihak Berkuasa Negeri. Pengenaan cukai taksiran pula adalah selaras dengan peruntukan Akta Tempatan 1976 (Akta 171) di bawah Seksyen 127 yang membolehkan Majlis/PBT mengenakan cukai taksiran atau cukai am ke atas pegangan-pegangan yang terdapat di dalam kawasan pentadbiran Majlis.

    Top
  • Bagaimanakah caranya untuk saya menyalurkan pendapat, cadangan dan aduan mengenai Pejabat Tanah dan Galian Melaka?

    Selain daripada membuat aduan di kaunter peti aduan yang telah disediakan, orang awam juga boleh menggunakan alternatif lain untuk menyatakan aduan mereka melalui:

    • Laman web rasmi kerajaan Negeri Melaka iaitu www.melaka@gov.my dan menggunakan sistem e-aduan sebagai saluran
    • Talian ONCC (One Number Call Centre), 06-2333333
    • SMS taip ADU hantar ke 019-2833332
    • Email ke norhayati_m@melaka.gov.my
    • Hubungi ke talian terus melalui 06-2322546 untuk bercakap dengan pegawai berkenaan
    Top
  • Apa itu Hakmilik Strata?

    Hakmilik yang dikeluarkan untuk setiap unit/ petak bagi sesebuah bangunan berbilang tingkat yang unit-unitnya telah dijual. Unit-unit ini adalah dikenali sebagai petak-petak.
    Contohnya:-
    Rumah pangsa, pangsapuri, kondominium, Townhouse, dan rumah kedai.

    Top
  • Mengapa perlu Hakmilik Strata?

    Untuk menjaga kepentingan pembeli sebagai bukti pemilikan bagi tujuan urusniaga.
    Contohnya:-
    Pindahmilik, gadaian, cagaran dan pembahagian pesaka

    Top
  • Mengapa Hakmilik Strata penting bagi bangunan bertingkat?

    Tahukah anda Hakmilik Strata adalah sama pentingnya dengan Hakmilik Tanah. Hakmilik Strata adalah satu-satunya geran/ dokumen/ bukti pemilikan petak anda!
    Anda akan menghadapi masalah dalam urusan pindahmilik, gadaian, cagaran, pembahagian pesaka dan sebagainya sekiranya anda tidak mempunyai Hakmilik Strata.

    Top
  • Siapa yang patut memohon Hakmilik Strata dan bila?

    Di bawah Akta Hakmilik Strata 1985, pemaju/ pemilik asal perlu memohon untuk hakmilik strata dalam tempoh 6 bulan dari tarikh Sijil Layak Menduduki dikeluarkan atau tarikh perjanjian jual beli dilakukan mengikut mana yang terkemudian.

    Top
  • Perlukah pemilik petak membuat bayaran untuk memperolehi Hakmilik Strata?

    Ya. Anda perlu membuat bayaran kepada pejabat tanah dan juga menbayar bayaran perkhidmatan peguam, kecuali jika pemaju membuat bayaran tersebut sebagai khidmat kepada pembeli. Selain itu, semua kos dan bayaran bagi memperolehi hakmilik strata perlu dibiayai oleh pemaju.

    Top
  • Apa hak pemilik sebagai pemilik petak?

    Hak-hak pemilik petak termasuk:

    • Mempunyai kuasa-kuasa sebagai seorang pemilik membuat urusniaga seperti pindahmilik, memajak, menggadai, memecah dan menyatukan petak-petak yang dimiliknya.
    • Hak mengundi di Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan di mesyuarat agung luar biasa. Dengan syarat telah membayar tabung pengurusan yang dikutip oleh perbadanan pengurusan.
    • Hak ke atas harta bersama mengikut unit syer yang diperuntukkan.
    • Hak kepada sokongan, perkhidmatan seperti bekalan air, pembentungan, sistem perparitan, bekalan elektrik, pungutan sampah dan perkhidmatan lain
    • Hak untuk meneliti rekod dan akaun perbadanan pengurusan.
    Top
  • Apakah tanggungjawab utama pemilik?
    1. Membayar caruman kumpulan wang pengurusan;
    2. Mematuhi undang-undang kecil yang sedang berkuatkuasa;
    3. Menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Luar Biasa; dan
    4. Mematuhi apa-apa arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa awam/ tempatan berhubungan dengan petak yang dimilikinya.
    Top
  • Apakah tindakan yang boleh diambil sekiranya pemilik petak enggan membayar tabung pengurusan?
    1. Petak anda boleh disita dan dibuat penahanan harta alih.
    2. Jika anda seorang penyewa, anda mungkin boleh menolak bayaran yang terhutang kepada sewa yang harus dibayar kepada pemilik.
    3. Anda boleh disaman di mahkamah
    Top
  • a) Sekiranya saya sudah membuat pindahmilik, adakah bil cukai semasa akan secara automatiknya ke atas nama saya? Apa yang perlu saya lakukan sekiranya bil cukai semasa tersebut masih lagi nama pemilik asal?

    b) Saya sudah berpindah ke negeri Johor tetapi telah mempunyai rumah di Melaka. Bagaimanakah caranya untuk memastikan saya masih lagi mendapat bil cukai semasa rumah tersebut sedangkan saya sudah berpindah?

    Bolehlah menghubungi terus ke Unit Hasil, PTG menerusi talian 06-333 3333 sambungan 5041 untuk mengemaskini nama dan alamat terkini atau pun mengunjungi mana-mana Pejabat Tanah Daerah di Negeri Melaka yang berhampiran dengan anda. Anda juga boleh menghantar e-mel ke ptg@melaka.gov.my bagi tujuan pengemaskinian nama dan alamat.

    Top
  • Apa yang perlu saya lakukan sekiranya terlupa kata laluan untuk membuat bayaran secara online?

    Sekiranya anda mempunyai sebarang masalah berkaitan online, bolehlah menghubungi terus ke Unit IT, PTG menerusi talian 06-333 3333 sambungan 5016 atau 5017 untuk mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan.

    Top

Pejabat Tanah & Galian Melaka,
Aras 1-2, Wisma Negeri,
Jalan Wisma Negeri, Hang Tuah Jaya,
75450 Ayer Keroh, Melaka Bandaraya Bersejarah

Tel : 06-333 3333 ext 5048
Fax : 06-232 5802
Emel : ptg@melaka.gov.my