Bagi merealisasikan pengkomputeran keseluruhan fungsi pengurusan dan pentadbiran tanah di negara ini, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) merancang bagi mewujudkan satu sistem berkomputer yang bersepadu yang dikenali sebagai projek Sistem Permodelan Pejabat Tanah (SPPT) atau e-Tanah.

Kajian SPPT telah disiapkan oleh Perunding Tempatan iaitu Syarikat Sepakat Computer Consultant Sdn Bhd (SCC) pada Ogos 2002. Kajian telah dikemukan kepada Jawatankuasa SPPT, JTIT Mampu serta agensi-agensi pusat dan diterima sebagai asas bagi melaksanakan projek ini.

Objektif utama pewujudan e-Tanah ini ialah untuk membangunkan sistem pengurusan dan pentadbiran tanah yang bersepadu melalui penggunaan komputer sepenuhnya bagi mencapai hasrat kerajaan untuk melaksanakan Kerajaan Elektronik dalam perkhidmatan awam.

Melalui pelaksanaan e-Tanah yang dirancangkan ini, pengguna akan dapat menjimatkan masa apabila berurusan di pejabat-pejabat tanah. Ini adalah selaras dengan aspirasi kerajaan untuk mempertingkatkan ‘service delivery’ dan memperbaiki corak pentadbiran tanah di semua peringkat yang menjadi rungutan semua pihak pada masa kini.

Di bawah Pakej Ransangan Ekonomi yang diumumkan pada 21 Mei 2003, projek e-Tanah telah disenaraikan sebagai salah satu perakuan yang akan dilaksanakan untuk menyokong pentadbiran tanah di setiap peringkat pentadbiran secara ‘fast track’. Pada 14 Ogos 2003, SPPT dimasukkan ke dalam agenda Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Kerajaan Elektronik. SPPT mula dikenali sebagai E-tanah. Hasrat bagi melaksanakan e-Tanah ini juga telah dimaklumkan dalam Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) pada 18 Disember 2003 yang lalu dan telah diperakui sebagai salah satu daripada projek Kerajaan Elektronik sebagaimana aplikasi-aplikasi perdana yang telah dilaksanakan oleh kerajaan, iaitu projek e-perolehan, PMS dan HRMIS. Mesyuarat Majlis Tanah Negara kali ke 60 pada 19 Ogos 2004, telah meminta supaya disamping projek perintis, dikaji kemungkinan memperluaskan projek ini kesemua negeri dalam masa secepat mungkin setelah menimbang implikasi kos.

Sistem e-Tanah telah digunapakai dalam Pentadbiran Tanah buat pertama kalinya di Pulau Pinang mulai Oktober 2007. Sistem e-Tanah telah diperluaskan ke negeri lain iaitu Negeri Sembilan dan Melaka. Di Melaka, sistem ini telah mula digunakan secara berperingkat pada Disember 2014.

Sistem e-Tanah bertujuan untuk menambahbaik kualiti penyampaian perkhidmatan dan pengurusan tanah kepada rakyat. Perkara ini boleh dicapai melalui :

  • Perkhidmatan kaunter lebih mesra-pelanggan – ubahsuai kaunter dan single point of contact.
  • Pelanggan boleh mendapat maklumat dan perkhidmatan secara ‘on-line’.
  • Kemudahan pelanggan membayar cukai tanah di pusat bayaran setempat (seperti di Pejabat Pos, Kedai Telekom)
  • Bayaran cukai tanah boleh dibuat di mana-mana pejabat tanah di dalam negeri berkenaan dan secara on-line.
  • Pelanggan mendapat khidmat lebih cepat dan cekap.
Sistem e-Tanah merangkumi sembilan (9) modul utama berkaitan urusan-urusan tanah seperti berikut :

  1. Pendaftaran
  2. Hasil
  3. Consent
  4. Strata
  5. Pembangunan
  6. Penguatkuasaan
  7. Lelong
  8. Pengambilan dan Lesen
  9. Pelupusan
Sistem e-Tanah mempunyai ciri-ciri utama seperti berikut :

  • Sistem berasaskan Teknologi Web.
  • Sistem bersepadu dan seragam.
  • Mengambilkira keperluan semua negeri.
  • Integrasi dan adaptasi dengan sistem-sistem sedia ada.
  • Mengambilkira tahap keselamatan.
  • Gabungan konsep sistem berpusat dan teragih (Hybrid System) di antara PTD dan PTG
  • Merupakan sistem pengurusan proses aliran kerja (Workflow System)
Memandangkan matlamat utama Sistem e-Tanah adalah untuk menambahbaik kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Sasaran utama sistem ini adalah pelanggan yang berurusan dengan Pejabat Tanah & Galian (PTG) dan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) di setiap negeri. Pelanggan di PTG and PTD adalah orang awam yang terdiri daripada pemilik tanah, pemajak tanah, penyewa tanah persekutuan, peguam, pemaju, jurukur dan sebagainya.

Pejabat Tanah & Galian Melaka,
Aras 1-2, Wisma Negeri,
Jalan Wisma Negeri, Hang Tuah Jaya,
75450 Ayer Keroh, Melaka Bandaraya Bersejarah

Tel : 06-333 3333 ext 5048
Fax : 06-232 5802
Emel : ptg@melaka.gov.my